PERANG Badar al-Kubra adalah antara peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada Ramadan. Perang itu berlaku pada tahun kedua hijrah, menyaksikan pertembungan antara tentera Islam yang disertai 313 orang dengan bala tentera kafir Musyrikin seramai 1,000 orang.


PERANG Badar al-Kubra adalah antara peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada Ramadan. Perang itu berlaku pada tahun kedua hijrah, menyaksikan pertembungan antara tentera Islam yang disertai 313 orang dengan bala tentera kafir Musyrikin seramai 1,000 orang.

Jumlah tentera yang tidak seimbang itu menyebabkan Rasulullah berdoa kepada Allah sambil bermunajat: “Ya Allah! Ya Tuhanku! Perkenankan apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Ya Tuhanku! Jika jemaah Islam ini binasa, maka tidak akan ada lagi orang yang akan menyembah-Mu di bumi ini.”

Baginda terus berdoa sehingga selendangnya jatuh daripada bahunya. Lantas datang Abu Bakar al-Siddiq mengambil selendang itu, lalu meletakkannya kembali pada bahu Baginda. Kemudian beliau berdiri di belakang Rasulullah seraya berkata: “Wahai Nabi Allah! Cukuplah doamu itu kepada Allah. Mudah-mudahan Allah akan makbulkan permintaanmu dan akan penuhi janji-Nya kepadamu.”

Selepas itu, turun wahyu yang bermaksud: “(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut.” - (Surah al-Anfal, ayat 9)

Kisah ini menggambarkan dengan jelas peranan doa dalam kehidupan Muslim. Setiap Muslim dituntut berdoa hanya kepada Allah. Ia juga menunjukkan betapa manusia adalah makhluk lemah dan serba daif. Oleh itu, manusia berhajatkan kepada pertolongan Allah sebagai Pencipta alam semesta yang Maha Berkuasa. Kepada-Nya setiap Muslim bergantung harapan dan memohon bantuan sebagaimana mafhum daripada surah al-Fatihah yang diulang-ulang sekurang-kurang 17 kali sehari semalam maksudnya: “Engkaulah saja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah saja kami memohon pertolongan.” – (Surah al-Fatihah, ayat 5)

Maka tidak hairan Baginda sentiasa menggalakkan umat Islam agar tidak putus-putus berdoa kepada Allah dalam semua keadaan tidak kira pada masa senang atau susah, kaya atau miskin dan seterusnya. Baginda pernah bersabda maksudnya: “Doa adalah senjata mukmin dan tiang agama serta sinaran cahaya yang menerangi langit dan bumi.” - (Hadis riwayat Abu Ya'la)

Seterusnya, kehidupan yang diciptakan Allah untuk umat manusia ini penuh dengan ujian dan dugaan. Ia bagi menguji sejauh mana keimanan Muslim sama ada bersabar dan tetap teguh dengan keimanan atau terus mengalah dan akhirnya tersungkur dengan kekalahan memeritkan. Begitulah juga peperangan Badar yang diharungi oleh tentera Islam untuk berdepan dengan tentera kafir Musyrikin.

Akhirnya, tentera Muslim menang besar dalam perang itu dengan izin Allah berbekalkan keimanan mantap, strategi peperangan sistematik dan bantuan Ilahi dari langit iaitu gerombolan malaikat untuk membantu tentera Muslimin. Semua itu menjadi kriteria utama ke arah mencipta kemenangan berdasarkan kepada sunatullah di alam semesta ini.

Kesemua tokoh kuffar itu tersembam hina ke bumi, menggeletak menerima hentaman pedang wakil Islam, namun Ubaidah Al-Harith yang cedera parah dalam perlawanan telah gugur syahid 4 hingga 5 hari selepas peristiwa Badar ini.

Maka, amat bertepatan di bulan Ramadhan ini untuk kita mengimbau kembali perjuangan dan pengorbanan para sahabat Nabi yang berjuang dalam keadaaan berpuasa, apatah lagi kita umat Islam yang kini tiada berperang seperti di zaman Nabi s.a.w dahulu.

0 comments: